Product ...

Services ...

Other things ...

Tuesday, November 4, 2008
Dulu Menoreh Getah, Kini Jadi Usahawan
Dengan modal berjumlah RM30,000 hasil upah menoreh getah yang dikumpulnya sejak remaja selama 10 tahun, Mazran Pawang Chek kini adalah usahawan berjaya di Jeli, Kelantan.

SIAPA sangka, tanpa pengetahuan formal di bidang percetakan iklan, Mazran Pawang Chek, 38, yang dahulunya seorang penoreh getah kini merupakan pemilik syarikat pengiklanan yang cukup dikenali di Jeli, Kelantan. Kesanggupan menunggang motosikal sejauh 200 kilometer sehari untuk belajar kemahiran percetakan walaupun tidak dibayar gaji mungkin dianggap sesetengah pihak sebagai luar biasa. Namun, itulah rutin harian Mazran yang kini membuahkan hasil.

Dengan menyewa sebuah kedai kecil di Simpang Tiga Jakar, Bukit Bunga dekat Jeli sejak 11 tahun lalu, kegigihan Mazran wajar dicontohi kerana membuka perniagaan tersebut dengan modal berjumlah RM30,000 hasil upah menoreh getah yang dikumpulnya sejak remaja selama 10 tahun. Semuanya kerana minat terhadap bidang tersebut serta keinginan untuk mengubah nasib diri dan keluarga.

"Kemiskinan keluarga menyebabkan saya berazam untuk memperbaiki diri, apatah lagi saya hanya bersekolah setakat peringkat menengah sahaja," ujar pemilik Mazran Creative Center (MCC) memulakan bicara.

Menurutnya, minat yang mendalam di bidang percetakan dan pengiklanan bermula apabila beliau menatap sekeping poster iklan ekspo pendidikan yang ditampal di pondok memproses getah.

"Ketika itu, di dalam hati, saya tertanya-tanya macam mana poster itu dihasilkan kerana ia nampak begitu cantik. Sejak itu juga, saya sering bertanya bagaimana boleh menceburi pekerjaan ini?,''katanya.

Mengimbas detik awal penglibatannya dalam perniagaan itu, katanya, ketika berjalan-jalan di pekan Tanah Merah, Kelantan, beliau ternampak sebuah kedai percetakan.

"Saya singgah di kedai itu dan menyampaikan hasrat untuk bekerja di situ tetapi hampa apabila pemiliknya beritahu tiada kerja kosong.

"Tidak lama kemudian, saya bertemu seorang rakan yang mempunyai kedai percetakan iklan di Jerteh, Terengganu.

"Dia kemudian mengajak saya bekerja di kedai miliknya.

"Secara jujur, rakan saya memberitahu bahawa dia tidak mampu membayar gaji saya kerana perniagaannya masih kecil dan baru dibuka.

"Namun, kerana minat yang mendalam, saya terima tawaran ini,''katanya.

Menurut Mazran, bukan sahaja selok-belok perniagaan yang dipelajarinya, malah rakannya turut mengajar beliau cara-cara membaiki kerosakan mesin cetak.

"Oleh kerana ibu bapa saya telah uzur, saya terpaksa berulang-alik dari kampung di Jeli, Kelantan ke Jerteh, Terengganu pada setiap hari untuk bekerja sambil menimba ilmu," ujarnya yang memberitahu, beliau pernah bermalam di tepi jalan dalam keadaan basah kuyup setelah tayar motosikalnya pancit.

Genap setahun, Mazran berhenti kerja dan pulang ke kampung sebelum memohon mengikuti kursus kemahiran percetakan anjuran Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) Jeli pada 1995 selama enam bulan. Tamat kursus, Mazran kembali ke kampung dan meneruskan kerja lamanya sebagai penoreh getah.

Benar kata pepatah lama yang berbunyi 'sedikit-sedikit lama-lama... jadi bukit'. Hasil jimat cermat menyimpan wang hasil menoreh getah termasuk sejak di usia remaja, simpanan Mazran mencecah RM30,000. Yakin dengan 'ilmu' dimiliki, beliau memberanikan diri membuka kedai percetakan iklannya sendiri pada pertengahan 1996.

"Setiap malam, saya menatap sijil kursus yang dimiliki dan timbul hasrat untuk tidak makan gaji, sebaliknya membuka perniagaan sendiri secara kecil-kecilan sahaja.

"Saya peruntukan sebahagian wang simpanan untuk kos menyewa bangunan, manakala selebihnya membeli mesin cetak dan komputer. Ketika itu, bidang percetakan iklan agak asing bagi penduduk sekitar Jeli.

"Oleh kerana peralatan terhad, beberapa tempahan iklan yang besar terpaksa saya buat di kedai lain di Tanah Merah. Keadaan ini berterusan sehinggalah modal membeli mesin cetak berkapasiti tinggi mencukupi,''ujarnya.

Katanya, walaupun tempahan iklan daripada pelanggan semakin baik terutama dari agensi kerajaan dan sekolah sekitar Jeli, namun beliau tetap berjimat cermat menyediakan tabungan termasuk bagi membesarkan perniagaan.

"Selama enam tahun, saya hanya mempunyai seorang pembantu sahaja dan kami berdua bertungkus-lumus bekerja siang dan malam bagi memenuhi tempahan pelanggan.

"Kini, saya mampu menggaji empat pekerja sepenuh masa," katanya bangga.

MCC yang terletak berhampiran ibu pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Bukit Bunga kini dilengkapi mesin-mesin canggih termasuk 'digital ink jet' yang mampu menyiapkan sebarang kerja iklan seperti bunting dan poster dalam masa satu hari sahaja.

Syarikat itu juga sering menerima tempahan iklan agensi kerajaan dan swasta di sekitar Jeli misalnya Jabatan Kerja Raya (JKR), Risda, Kemajuan Kelantan Selatan (Kesdar), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Pejabat Tanah, Majlis Daerah Jeli (MDJ) dan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA).

Berpegang kepada pepatah 'yang bulat tidak datang bergolek', Mazran bersyukur kerana dengan rezekinya itu, beliau berjaya mengukuhkan jenama MCC sebagai syarikat percetakan iklan bumiputera di Jeli dengan usaha sendiri tanpa bantuan pinjaman bank.

"Saya percaya nasib manusia boleh berubah jika diri sendiri berani mengubahnya," ujarnya mengakhiri bicara.

Labels: