Wednesday, September 17, 2008
Hatimah Bangga Jadi Tukang Kasut
![]() SEREMBAN - Demi rezeki untuk menyara anak-anak, Hatimah Atan tekad menangkis tanggapan bahawa golongan wanita tidak sesuai menjadi tukang kasut kerana sinonim dengan sifat lemah lembut. Bagi Hatimah, 35, tidak ada apa yang hendak dimalukan dengan menjadi tukang kasut di kaki lima asalkan kemahuan menyara diri dan anak-anak mengatasi segala-galanya. "Pada mulanya memang saya berasa malu untuk menjadi tukang kasut di kaki lima, tetapi saya mencari rezeki untuk menyara anak-anak. Tambahan pula sekarang suami saya tidak berapa sihat. "Apa yang penting di mana ada kemahuan, di situ pasti ada jalan," katanya ketika ditemui sedang sibuk membaiki kasut yang rosak di kaki lima sebuah pusat beli-belah di sini semalam. Beliau yang berasal dari Melaka menambah, tidak banyak golongan wanita terutama rakyat Malaysia menceburi bidang pertukangan kasut ini mungkin disebabkan terpaksa bekerja di kaki lima. Bagi Hatimah, walaupun pekerjaan tersebut sering dipandang rendah, tetapi sumbangannya kepada masyarakat tetap besar. "Saya telah buktikan bahawa wanita bukan sekadar duduk di rumah atau bekerja dalam bilik hawa dingin, tetapi juga sanggup bekerja di kaki lima demi mendapatkan rezeki," katanya. Ujarnya yang menjadi tukang kasut sejak lima tahun lalu, beliau menerima sekurang-kurangnya tujuh pasang kasut dalam sehari dan meningkat sehingga 30 pasang pada hari minggu dan cuti umum. Labels: berita |
posted by editor at 6:21 PM

