Monday, October 29, 2007
Siswazah tolak jawatan guru untuk jadi usahawan tani
![]() Nor Faizultul Liana ceburi bidang ternakan ikan air tawar, pasarkan keli salai sebagai produk hiliran. Keli adalah antara ikan air tawar yang mudah ditemui, malah bagi sesetengah orang terutama yang berasal dari kampung, ikan itu mungkin mengembalikan nostalgia ketika bersama rakan memancing di tali air atau menyerkap di bendang. Jika puluhan tahun lalu, tidak sukar untuk menangkap keli, terutama ketika menyediakan tapak semaian padi atau ketika air di tali air dilepaskan untuk mengairi sawah, pasti ternampak ikan itu di lopak yang terbentuk. Masa berlalu, kini kebanyakan sawah di negeri ini sudah bertukar kepada ladang kelapa sawit dan juga ladang hasil pertanian menyebabkan keli hanya dapat diperoleh di sungai. Ini mendorong banyak pihak menternaknya secara komersial kerana harganya yang agak tinggi di pasaran selain permintaan yang terus meningkat. Faktor ini juga membibitkan minat kepada lulusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Nor Faizultul Liana Mustafa, 27, kepada penternakan ikan air tawar ini sehingga sanggup menolak tawaran menjadi guru yang menjanjikan pendapatan tetap serta suasana kerja selesa. ![]() "Entahlah... agaknya kerana saya terlalu minat nak jadi ahli perniagaan," kata lulusan ijazah Mikro Biologi itu ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sikota, Air Mawang, tidak jauh dari pekan Johol, Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Kesungguhannya dalam bidang ini menyebabkan anak sulung daripada lima beradik ini tidak saja menumpukan kepada aspek penternakan, malah meningkatkannya kepada pengeluaran produk hiliran keli. Kini, Nor Faizultul Liana antara pengeluar ikan keli salai yang dikenali di Negeri Sembilan dan amat bertuah kerana kerjaya pilihannya itu tidak pernah dihalang ibunya, Noriah Yunus, 49, dan bapa tirinya, Abdullah Kassim, 67. Oleh kerana menternak keli dan memproses ikan salai tidak mengambil begitu banyak masanya, dia turut menyumbang khidmat bakti sebagai guru sementara di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tampin. "Selepas pulang dari sekolah pada sebelah petang, saya akan membantu ibu memproses keli salai. Alhamdulillah, perniagaan kami ini semakin berkembang dan produk yang dikeluarkan mendapat sambutan," katanya. Menceritakan permulaannya dalam perniagaan itu, Nur Faizultul Liana berkata, dia bermula pada Februari 2004 dengan modal RM8,000 untuk membina lima kolam konkrit yang setiap satu berukuran 6 x 3 meter. Katanya, kolam itu untuk pembiakan anak keli yang benihnya dibeli daripada seorang pengusaha di Masjid Tanah, Melaka, manakala baki modal digunakan untuk membina pondok serta tempat menyalai ikan berkenaan. "Memproses keli salai ada caranya... ikan yang sudah cukup matang akan diasingkan ke dalam sebuah kolam lain, sebelum disiang dan dibersih menggunakan limau kasturi bagi menghilangkan hanyirnya," katanya. Selepas dibersihkan, ikan berkenaan akan digaul dengan serbuk kunyit sebelum disalai selama empat jam dengan menggunakan api daripada sabut kelapa yang mana bagi mengelakkan daripada hangus. Selain itu untuk mendapatkan aroma membuka selera, tempat menyalai dialas dengan daun pisang. Dengan usaha gigih serta khidmat nasihat Jabatan Perikanan yang turut memberi bantuan batu mar-mar untuk kolam ikannya serta sebuah mesin pembungkusan, perniagaan anak muda itu semakin mendapat sambutan. Produk ikan keli salai keluarannya bukan saja dibeli penduduk tempatan dan kedai runcit di sekitar negeri ini, tetapi turut menjangkau sempadan Negeri Sembilan apabila dipasarkan di Bazar Melaka Central, Melaka. "Saya kini sedang berunding dengan sebuah pasar raya besar untuk memasarkan ikan keli salai ini di seluruh rangkaian pasar raya berkenaan," katanya. Untuk meyakinkan pengguna, dia menyertai pelbagai kursus serta mendapatkan pengiktirafan berkaitan, antaranya Sijil Halal Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan, Sijil Kualiti daripada Sirim dan Sijil QAS bagi mendapatkan paten produknya sebagai harta intelek. Bagi menampung permintaan yang semakin meningkat, terutama pada musim perayaan dan tempahan daripada beberapa hotel di Melaka dan Port Dickson, Nur Faizultul Liana menyuntik tambahan modal hampir RM60,000. "Modal tambahan ini digunakan bagi membina empat lagi kolam ikan selain membesarkan rumah salai," katanya, yang mempunyai lima pekerja bagi memproses ikan keli pada peringkat kolam sehingga ke rumah salai. Dia yang mendapatkan bekalan sabut kelapa untuk menyalai ikan setiap hari dari penjual kelapa di Pasar Besar Tampin dan Pasar Besar Pulau Sebang, Alor Gajah, berkata ikan keli salai antara juadah pilihan rakyat Negeri Sembilan. "Ikan keli salai memang masyhur di negeri ini untuk dimasak gulai lemak cili api. Ia juga boleh dimasak bersama rencah seperti rebung, belimbing buluh, buah kundang muda, bacang muda, sayur maman, terung telunjuk dan dicampur tempoyak serta pisang muda. "Paling enak jika turut dicampur dengan cili merah dan cili hijau yang dibelah dua bersama perahan limau kasturi," katanya. Berpegang kepada prinsip kekayaan harus dikongsi, dia turut membuka peluang kepada sesiapa saja yang berminat menjadi pengedar ikan keli salai keluarannya yang turut menjadi saluran memperluaskan pasaran produk berkenaan. Mereka yang berminat menjadi pengedar atau membuat tempahan ikan keli salai dengan jenama 'Keli Salai C-Kota' boleh menghubungi Liana di Kampung Sikota, Air Mawang, Johol atau melalui talian 019-3504263. FAKTA NOMBOR: Perusahaan Keli Salai C-Kota
Sumber : Berita Harian Online |
posted by editor at 10:25 AM
Tuesday, October 16, 2007
Usahawan Kerepek
Kerepek merupakan hidangan ringan tak kira bagi kanak - kanak mau pun orang dewasa. Kini, muncul usahawan yang mengusahakan perusahaan kerepek tradisional yang telah di komersil dan berkhasiat. Berbekal jenama yang menarik dan kaedah pembungkusan yang menarik, tidak mustahil kerepek Malaysia menembusi pasaran antarabangsa. Labels: usahawan |
posted by editor at 11:15 PM


